Date of Award

1-1-2010

Thesis Type

masters

Document Type

Thesis

Divisions

10

Department

Dept of Syariah & Law

Institution

University of Malaya

Abstract

Kajian ini secara umum meneliti konsep harta tanpa penamaan dan pentadbirannya di Malaysia. Dalam melihat pentadbiran harta ini kajian ditumpukan kepada satu institusi yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran harta jenis ini iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kajian memfokuskan aspek tuntutan harta, caruman atau simpanan tanpa penamaan yang diaplikasikan di KWSP dan agihannya di mana kedua-dua aspek tersebut diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan KWSP 2001. Kajian juga meneliti isu-isu berbangkit daripada pentadbiran tuntutan dan agihan caruman KWSP yang tiada penamaan. Kajian kualitatif ini menggunakan metode kepustakaan, metode dokumentasi, metode persampelan bertujuan (Purposive Sampling) dan metode temubual semi berstruktur sebagai metode pengumpulan data. Manakala metode induktif, deduktif dan komparatif digunakan sebagai metode analisis data. Kajian mendapati bahawa caruman KWSP yang tiada penama menjadi harta pusaka si mati. Namun begitu, pentadbirannya di KWSP tidak tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang pentadbiran pusaka kerana ia ditadbir oleh undang-undangnya sendiri. Kajian juga mendapati, KWSP dalam kes tertentu menggunakan budi bicaranya dalam usaha menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah kepada caruman tersebut. Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh KWSP dalam menguruskan caruman tersebut. Ini meliputi ketidakcukupan dokumen yang dikemukakan oleh pemohon yang diperlukan untuk proses pengurusan, ketiadaan mekanisme untuk memproses kes-kes di mana terdapat lebih dari satu permohonan pengeluaran daripada pemohon yang layak dan kekangan perundangan dalam menangani kes penerima caruman tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai wasi. Akhirnya cadangan dikemukakan bagi penambahbaikan prosedur pengeluaran dan agihan caruman tanpa penamaan di KWSP.

Note

Dissertation (M.Syariah) -- Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2010

Share

COinS