Date of Award

1-1-2001

Thesis Type

Masters

Document Type

Thesis

Divisions

Faculty of Languages and Linguistics

Department

-

Institution

Universiti Malaya

Abstract

Kajian dilakukan untuk melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak yang berusia 2.6 tahun dan 3.7 tahun berdasarkan analisis am, analisis sintaksis dan semantik bahasa Melayu. Kedua-­dua sampel merupakan kanak-kanak Melayu yang mempunyai latar belakang bahasa yang sama iaitu dilahirkan dan dibesarkan di Kelantan. Oleh itu bahasa pertama kedua-dua mereka ialah bahasa Melayu dialek Kelantan. Oleh kerana kedua-dua sampel yang dipilih terdiri daripada kanak-kanak Melayu yang dibesarkan dalam masyarakat Melayu dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dalam sebarang bentuk perhubungan, maka analisis bagi melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan mereka juga akan dilakukan berdasarkan aspek-aspek yang terkandung dalam bahasa Melayu. Walaupun aspek-aspek yang terkandung dalam bahasa Melayu sebenarnya begitu luas iaitu meliputi aspek-aspek fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan pragmatik, namun aspek yang dipilih oleh pengkaji dalam melakukan analisis terhadap data 50 ujaran yang dibuat oleh sampel bagi melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan mereka ialah hanya berdasarkan aspek sintaksis, semantik dan analisis am sahaja. Pemilihan aspek sintaksis dan semantik ini adalah kerana ia saling berkait rapat dan berhubungan antara satu sama lain. Walaupun aspek morfologi juga sesuai, namun disebabkan masalah masa yang terhad maka penulis terpaksa mengenepikannya. Aspek fonologi pula yang melibatkan kajian bunyi bahasa hanya sesuai dilakukan ke atas kanak-kanak yang masih di tahap awal penghasilan bunyi bahasa. Analisis am, walaupun mempunyai beberapa ciri yang remeh tetapi penting dalam menilai tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak. Rakaman dibuat secara langsung dengan menggunakan pita rakaman ke atas ujaran yang diujarkan secara spontan oleh kanak-kanak. Hanya 50 ujaran terbaik sahaja dipilih sebagai data. Analisis dilakukan terhadap data yang telah di transkripsikan dengan menggunakan ukuran-ukuran tertentu iaitu berdasarkan analisis am, sintaksis dan semantik bahasa Melayu, mengikut kesesuaian dengan skop kajian. Hasil analisis menunjukkan bahawa tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak yang berusia 2.6 dan 3.7 tahun masih belum sempurna sepenuhnya. Walau bagaimanapun kedua-kedua sampel telah mengalami proses pemerolehan dan penguasaan bahasa yang amat menggalakkan. Didapati bahawa Amin telah mengalami tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa yang berkembang selari dengan peningkatan usianya. Sedangkan Azam yang berusia 2.6 tahun telah mengalami tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa yang lebih cepat daripada perkembangan usianya. Hal ini demikian kerana Azam banyak dipengaruhi oleh abangnya Amin dalam proses pemerolehan dan penguasaan bahasanya. Situasi ini membuktikan bahawa peranan persekitaran sebenarnya penting dalam membantu mempercepatkan proses pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak. Sungguh pun begitu peranan kognitif juga tidak boleh dinafikan.

Initial

snms

Additional Information

Dissertation (M.A) -- Faculty of Languages and Linguistics, Universiti Malaya, 2001.

Share

COinS