Date of Award

2-1-2021

Thesis Type

masters

Document Type

Thesis (Restricted Access)

Divisions

education

Department

Department Educational Psychology and Counselling

Institution

Universiti Malaya

Abstract

Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak amat penting untuk membantu penguasaan kemahiran pembelajaran mereka. Pembelajaran secara tradisional di kelas prasekolah dan tiada penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak di rumah merupakan faktor kanak-kanak kurang menguasai pembelajaran Sains Awal dengan baik. Justeru, tujuan kajian ini untuk meneroka komitmen ibu bapa dalam penglibatan pembelajaran anak di rumah terhadap penguasaan kemahiran proses Sains Awal melalui kaedah Pembelajaran Berbalik. Pengumpulan data kajian dilakukan melalui temu bual terhadap ibu bapa, pemerhatian melalui aktiviti pembelajaran Sains Awal dan analisis dokumen pentaksiran dan hasil kerja kanak-kanak yang berlangsung selama tiga bulan. Seramai enam orang ibu bapa dan enam orang kanak-kanak prasekolah yang telah mengaplikasikan kaedah Pembelajaran Berbalik dipilih dalam kajian ini. Lokasi kajian merupakan prasekolah rintis pertama di negeri Sabah yang melaksanakan kaedah Pembelajaran Berbalik. Manakala kesahan dan kebolehpercayaan berdasarkan teknik triangulasi dan pengesahan peserta kajian sepanjang tempoh kajian. Analisis data berdasarkan dapatan mentah yang dikumpul hasil dapatan temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen. Daripada data dan maklumat yang bermakna akan disintesis dan diringkaskan, kemudian dipersembahkan dalam bentuk jadual dan laporan. Dapatan kajian menunjukkan pelbagai cara ibu bapa melibatkan diri dalam pembelajaran anak di rumah melalui kaedah Pembelajaran Berbalik. Pelbagai aktiviti Pembelajaran Berbalik yang dapat membantu kanak-kanak menguasai kemahiran proses Sains Awal juga telah dikenal pasti. Hal ini diperkukuhkan lagi melalui pentaksiran yang telah dijalankan iaitu melalui pemerhatian dan analisis dokumen serta analisis hasil kerja kanak-kanak. Cadangan kajian yang akan datang perlu menekankan pengetahuan kemahiran dan pemahaman guru dan ibu bapa terhadap Pembelajaran Berbalik dan penyediaan satu garis panduan yang tetap tentang kaedah Pembelajaran Berbalik di kelas prasekolah. Kajian ini memberi implikasi kepada ibu bapa, guru, kanak-kanak prasekolah, keluarga dan pendekatan pedagogi pengajaran prasekolah. Secara keseluruhannya, kaedah Pembelajaran Berbalik yang menekankan penglibatan ibu bapa dapat membantu dalam penguasaan enam kemahiran proses Sains Awal kanak-kanak yang terdapat dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Note

Dissertation (M.A.) – Faculty of Education, Universiti Malaya, 2021.

Share

COinS