Date of Award
3-1-2024
Thesis Type
masters
Document Type
Thesis (Restricted Access)
Divisions
education
Department
Department of Mathematics and Science Education
Institution
Universiti Malaya
Abstract
Isu kesan corak diet terhadap perubahan iklim memerlukan intervensi pembelajaran yang dapat meningkatkan sikap dan amalan murid terhadap diet lestari. Namun begitu, intervensi pembelajaran yang dapat meningkatkan sikap dan amalan diet lestari dalam kalangan murid masih kurang dilaksanakan. Sekiranya penekanan untuk menerapkan corak diet yang lestari diabaikan, pelepasan jejak karbon makanan akan meningkatkan kesan terhadap perubahan iklim. Kajian ini bertujuan mengkaji kesan Aktiviti Jejak Karbon Makanan melalui pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah terhadap sikap dan amalan diet lestari murid sekolah menengah. Kajian kuantitatif ini menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimental ujian pra-pasca dan menggunakan pensampelan kebarangkalian kawasan. Kajian ini melibatkan murid Tingkatan Empat yang mengambil mata pelajaran Biologi di sebuah sekolah di dalam kawasan lingkungan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Melaka. Seramai 30 orang murid dalam kumpulan intervensi Jejak Karbon Makanan telah menjalankan Aktiviti Jejak Karbon Makanan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan masalah selama lapan minggu, manakala 32 orang murid kumpulan kawalan menggunakan kaedah pembelajaran konvensional. Intervensi ini mengintegrasikan bidang pembelajaran Penggunaan Makanan secara Lestari, Elemen Kelestarian Global secara sisipan di dalam standard pembelajaran Gizi Seimbang. Analisis ANOVA sehala menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan sikap dan amalan diet lestari murid berdasarkan latar belakang sosio-ekonomi seperti tahap pendidikan, dan taraf pendapatan ibu bapa murid. Analisis ujian -t sampel bebas juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan skor min sikap terhadap diet lestari antara kumpulan intervensi Jejak Karbon Makanan (JKM) dan kumpulan kawalan dalam ujian pra. Namun begitu, terdapat perbezaan yang signifikan skor min sikap terhadap diet lestari antara kumpulan intervensi JKM (M = 4.01, SP = 0.32) dan kumpulan kawalan (M = 3.61, SP = 0.19) dalam ujian pasca dengan nilai-p 0.000 < .05. Analis ujian-t sampel berulang bagi kumpulan intervensi JKM juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan sikap murid terhadap diet lestari (p = .000 < .05) antara skor min ujian pra (M = 3.62, SP = .30) dan skor min ujian pasca (M = 4.01, SP = .32). Bagi amalan diet lestari, analisis ujian -t sampel bebas menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan bagi skor min antara kumpulan intervensi JKM dan kumpulan kawalan dalam ujian pra. Namun begitu, analisis ujian -t sampel bebas menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara skor min amalan diet lestari murid kumpulan intervensi JKM (M= 3.88, SD= 0.48) dan kawalan (M= 3.66, SD= 0.26) dengan nilai t (43.815) = 2.177, p < 0.05 bagi ujian pasca. Kesimpulannya, Aktiviti Jejak Karbon Makanan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan masalah memberi kesan peningkatan sikap dan amalan diet lestari dan boleh dijadikan sebagai suatu strategi mitigasi perubahan iklim melalui pendidikan.
Note
Dissertation (M.A.) – Faculty of Education, Universiti Malaya, 2024.
Recommended Citation
Anizawati, Zainal, "Kesan aktiviti jejak karbon makanan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan masalah terhadap sikap dan amalan diet lestari murid sekolah menengah / Anizawati Zainal" (2024). Student Works (2020-2029). 1675.
https://knova.um.edu.my/student_works_2020s/1675