Date of Award
2-1-2023
Thesis Type
masters
Document Type
Thesis (Restricted Access)
Divisions
4
Department
Dept of Dakwah & Human Development
Institution
Universiti Malaya
Abstract
Kajian ini ialah PENGETAHUAN, SIKAP DAN TINGKAH LAKU MASYARAKAT MUSLIM TERHADAP PROGRAM PEMULIHAN AKHLAK BAGI PESALAH SEKS REMAJA: KAJIAN DI SELANGOR. Peranan masyarakat diakui penting sebagai pencegah penularan wabak sosial seperti salah laku seksual dalam kalangan remaja. Bagi remaja yang telah terjebak dengan salah laku seksual, mereka perlu menyertai satu siri program pemulihan sosial bagi tujuan pemulihan. Meskipun program tersebut merupakan suatu usaha yang baik dalam membantu memulihkan akhlak remaja bermasalah, namun penelitian terhadap beberapa isu yang berlaku mendapati pengetahuan, sikap dan tingkah laku masyarakat terhadap program pemulihan akhlak bagi pesalah seks adalah kurang memuaskan. Hal ini jelas dibuktikan melalui penolakan masyarakat terhadap program pemulihan akhlak sedia ada. Selain itu, masyarakat tidak jelas tentang fungsi dan tujuan sebenar program pemulihan akhlak dijalankan. Justeru, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti pengetahuan, sikap dan tingkah laku masyarakat Muslim di Selangor terhadap program pemulihan akhlak bagi pesalah seks remaja serta menganalisis hubungan di antara ketiga-tiga aspek tersebut. Seterusnya, kajian ini dijangka dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat khususnya masyarakat Muslim di Selangor terhadap program pemulihan akhlak bagi pesalah seks remaja. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif penuh yang berbentuk kajian tinjauan secara atas talian. Sebanyak 416 soal selidik telah diedarkan kepada masyarakat Muslim berusia 18 tahun ke atas yang dipilih menggunakan Teknik Persampelan Mudah. Akhir sekali, dapatan kajian mendapati pengetahuan (N=416, min=3.94), sikap (N=416, min=3.85) dan tingkah laku (N=416, min=3.04) masyarakat Muslim di Selangor berada pada tahap sederhana tinggi. Masyarakat Muslim dikenal pasti mempunyai pengetahuan yang baik, menunjukkan sikap yang positif dan tingkah laku yang sederhana baik terhadap program pemulihan akhlak bagi pesalah seks remaja. Hasil analisis pula mengesahkan terdapat hubungan yang signifikan dan positif antara pengetahuan dan sikap (r=.545, p<0.01), pengetahuan dan tingkah laku (r=.368, p<0.01) serta sikap dan tingkah laku (r=.427, p<0.01) masyarakat Muslim terhadap program pemulihan akhlak bagi pesalah seks remaja.
Note
Dissertation (M.A) – Academy of Islamic Studies, Universiti Malaya, 2023.
Recommended Citation
Nursyahidah, Ibrahim, "Pengetahuan, sikap dan tingkah laku masyarakat Muslim terhadap program pemulihan pesalah seks remaja: Kajian di Selangor / Nursyahidah Ibrahim" (2023). Student Works (2020-2029). 1403.
https://knova.um.edu.my/student_works_2020s/1403