Date of Award

1-1-2018

Thesis Type

masters

Document Type

Thesis

Divisions

fac_eng

Department

Academy of Islamic Studies

Institution

Universiti Malaya

Abstract

Disiplin dan hukuman adalah antara subjek yang terbabit dalam pendidikan termasuk pendidikan Islam, malah ramai ilmuwan Muslim turut membincangkannya. Ibn Ḥajar al- Ḥaytamī (909-974 H/ 1503-1566 M) merupakan seorang ilmuwan Muslim yang lebih dikenali dalam bidang fiqh turut membahaskan perkara tersebut menerusi karyanya Taḥrīr al-Maqāl fī Ādāb wa Aḥkām wa Fawā’id Yaḥtāj Ilayhā Mu’addibu al-Aṭfāl. Hal ini menimbulkan persoalan bagaimana bentuk perbahasan beliau terhadap kedua-dua perkara tersebut. Di samping itu, turut dipersoalkan ialah kemampuan untuk membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan. Kajian ini menganalisis pemikiran Ibn Ḥajar al-Ḥaytamī menerusi kitab Taḥrīr al-Maqāl berkenaan disiplin dan hukuman khususnya dalam pendidikan kanak-kanak memandangkan karya tersebut menjurus kepada perbahasan pendidikan kanak-kanak. Kajian ini turut mengemukakan biografi Ibn Ḥajar al-Ḥaytamī dan pengenalan kitab Taḥrīr al-Maqāl. Kajian ini bersifat kualitatif yang menggunakan metode dokumentasi untuk pengumpulan data manakala dalam penelitian data beberapa bentuk metode analisis digunakan seperti metode historis, induktif, deduktif dan komparatif. Kajian ini mendapati bahawa perbincangan Ibn Ḥajar al Ḥaytamī mengenai disiplin tergambar dalam beberapa bentuk iaitu disiplin dengan penanaman nilai ukhrawi, disiplin dengan peneguhan yang positif, disiplin dengan amaran keras (taḥdhīr), disiplin dengan pengalaman, disiplin dengan kasih sayang dan disiplin dengan hukuman. Kajian ini juga mendapati Ibn Ḥajar al-Ḥaytamī turut memperincikan perbincangan mengenai hukuman dengan meletakkan beberapa perkara yang harus dipatuhi iaitu hukuman dengan keizinan dan hukuman dalam lingkungan tujuan asal pelaksanaannya untuk memperbaiki (iṣlāḥ) dan mencegah (zajr). Turut terlibat ialah hukuman memukul (ḍarb) yang menurut beliau perlulah diperhalusi dari sudut jumlah bilangan pukulan, jenis pemukul, tatacara memukul, kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman, dan dakwaan melampau dalam memukul. Kesimpulannya, Ibn Ḥajar al-Haytamī merupakan seorang ilmuwan Muslim yang berkemampuan membahaskan pelbagai disiplin, justeru mengubah persepsi bahawa beliau hanyalah seorang ahli fekah (jurist) semata-mata. Malah perbahasan beliau tentang ehwal pendidikan tidak hanya didasari teori semata-mata sebaliknya disokong oleh pengalaman yang dilalui.

Note

Dissertation (M.A.) – Academy of Islamic Studies, Universiti Malaya, 2018.

Share

COinS