Date of Award
1-1-2016
Thesis Type
phd
Document Type
Thesis
Divisions
fac_eng
Department
Academy of Islamic Studies
Institution
University of Malaya
Abstract
Pembangunan harta wakaf merupakan agenda yang semakin diberikan perhatian yang signifikan oleh komuniti Islam seantero dunia sebagai institusi yang menjadi nadi penggerak terhadap kemajuan sosioekonomi ummah. Kajian ini dilaksanakan dengan objektif untuk menganalisis prospek mekanisme dana amanah hartanah Islam bagi membiayai pembangunan harta wakaf, menilai kedudukan instrumen kewangan unit amanah hartanah Islam sama ada memenuhi ciri-ciri sebagai subjek wakaf menurut hukum syarak serta kerangka perundangan wakaf di Malaysia, membahaskan isu-isu berbangkit dan membentuk serta mencadangkan kaedah pembangunan harta wakaf menerusi mekanisme dana amanah hartanah Islam. Secara dasarnya, kajian ini bersifat kualitatif dengan mengaplikasikan kaedah analisis kandungan, analisis dokumen dan temu bual separa berstruktur. Kajian ini mendapati struktur dana amanah hartanah Islam merangkumi instrumen Amanah Pelaburan Hartanah Islam (Islamic real estate investment trust, I-REIT) dan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) berpotensi untuk diimplementasikan bagi tujuan memajukan harta wakaf meskipun berdepan dengan beberapa isu berbangkit. Isu-isu berkaitan telah dibahaskan dengan teliti bagi menjawab persoalan-persoalan kajian. Kajian ini juga mendapati bahawa unit amanah hartanah Islam merupakan instrumen kewangan yang sah untuk dijadikan sebagai subjek wakaf dari perspektif hukum syarak serta undang-undang wakaf di negara ini selain berupaya menjadi kelas aset wakaf yang baharu. Kajian ini turut mencadangkan tiga model pembangunan harta wakaf berteraskan mekanisme dana amanah hartanah Islam iaitu Wakaf REIT, Amanah Saham Hartanah Wakaf dan Dana Hartanah Wakaf. Hasil dapatan kajian merumuskan bahawa struktur dana amanah hartanah Islam mempunyai prospek untuk dimajukan sebagai mekanisme alternatif bagi membiayai pembangunan harta wakaf dengan beberapa modifikasi selaras dengan keperluan para pentadbir dan pengurus aset wakaf di Malaysia.
Note
Thesis (PhD) – Academy of Islamic Studies, University of Malaya, 2016.
Recommended Citation
Syahnaz, Sulaiman, "Transformasi pembangunan harta wakaf menerusi mekanisme dana amanah hartanah Islam / Syahnaz Sulaiman" (2016). Student Works (2010-2019). 3459.
https://knova.um.edu.my/student_works_2010s/3459