Date of Award
1-1-2015
Thesis Type
phd
Document Type
Thesis
Divisions
language
Department
Faculty of Languages and Linguistics
Institution
University of Malaya
Abstract
Pemahaman makna tersirat bermaksud memahami maksud dalaman (tersirat) sesuatu ujaran iaitu maksud yang berbeza dari makna linguistik atau teks. Lenneberg mengatakan bahawa kebolehan kanak-kanak memahami ujaran telah wujud sebelum kanak-kanak boleh bertutur lagi. Lantaran itu, adalah tidak mustahil jika pemahaman makna tersirat juga telah wujud dalam diri kanak-kanak seawal usia tiga tahun lagi. Kajian ini dilakukan bagi membuktikan tahap sebenar pemahaman makna tersirat kanak-kanak prasekolah kerana kanak-kanak sering dianggap hanya memahami perkara-perkara ‘mudah’ yang diujarkan oleh orang dewasa. Dapatan kajian ini diharap dapat digunakan oleh ibu bapa untuk membantu memperkembangkan potensi diri kanak-kanak dalam kecekapan berbahasa serta membantu pihak yang berkenaan merancang pembelajaran bahasa yang sesuai dengan keupayaan pemahaman kanak-kanak. Ujaran kanak-kanak prasekolah yang diambil secara spontan semasa mereka berkomunikasi ditranskripsikan dan seterusnya dianalisis dengan menggunakan kaedah Analisis Perbualan (Conversation Analysis). Pemahaman makna tersirat kanak-kanak prasekolah telah dinilai menggunakan Konsep Implikatur Perbualan, Prinsip Kerjasama Grice serta penilaian berdasarkan keupayaan kanak-kanak mengujar dan memahami pertanyaan yang mengandungi pelbagai maksud tersirat. Hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak prasekolah telah menguasai pemahaman makna tersirat dengan baik. Keupayaan ini boleh dikaitkan dengan pengaruh persekitaran kanak-kanak sendiri yang ternyata banyak dipengaruhi oleh budaya masyarakat Melayu yang begitu kaya dengan penggunaan bahasa ‘indirect’ dalam perbualan harian bagi menyampaikan pelbagai hajat tersirat. Namun, analisis data juga menunjukkan bahawa kanak-kanak prasekolah tidak dapat memahami makna tersirat ujaran yang mempunyai unsur-unsur kiasan, peribahasa, simpulan bahasa dan sebagainya. Hal ini kerana dalam sesetengah keadaan, kanak-kanak jarang didedahkan dengan penggunaan perkataan-perkataan yang lebih bersifat abstrak yang hanya sering digunakan oleh orang dewasa sahaja. Apatah lagi dalam budaya masyarakat Melayu sendiri yang begitu mementingkan nilai-nilai kesopanan dan bercakap dengan cara ‘beralas’ dalam ‘perkara-perkara tertentu’ telah menyebabkan kanak-kanak tidak banyak mendapat pendedahan tentang perkara-perkara yang dianggap agak sensitif.
Note
Thesis (Ph.D.) -- Faculty of Languages and Linguistics, University of Malaya, 2015
Recommended Citation
Mohamed, Noor Azmira, "Pemahaman makna tersirat dalam interaksi kanak-kanak prasekolah / Noor Azmira binti Mohamed" (2015). Student Works (2010-2019). 2854.
https://knova.um.edu.my/student_works_2010s/2854