Date of Award

1-1-2012

Thesis Type

masters

Document Type

Thesis

Divisions

1

Department

Dept of Al-Quran & Al-Hadith

Institution

University of Malaya

Abstract

Syeikh Nawawi al-Bantani (d. 1314 H/ 1897 M) adalah seorang tokoh ulama yang telah memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan ilmu pengetahuan Islam di Nusantara. Beliau adalah seorang ulama yang terkenal melalui karya-karya agungnya dalam bidang fiqah, tasawuf, tafsir, dan hadith. Karya beliau yang berjudul “Marah Labid li Kasyf Ma’na al-Qur’an al-Majid” adalah salah satu sumbangan beliau dalam bidang tafsir yang telah mendapat sambutan hangat daripada pelbagai kalangan sehingga beliau diberi gelar “Sayyid ‘Ulama` al-Hijaz” (Pemimpin Ulama Hijaz). Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kedudukan hadith dalam tafsir al-Qur’an, memperkenalkan biografi Syeikh Nawawi al-Bantani, mendedahkan secara ringkas perkembangan penulisan karya tafsir di Indonesia sejak awal masuknya Islam hingga abad ke-19 M, serta memperkenalkan karya tafsir Marah Labid. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mentakhrij dan menganalisis hadith-hadith yang terdapat dalam tafsir Marah Labid dengan tumpuan surah al-Baqarah. Dari segi metodologi, kajian ini sepenuhnya menggunakan penyelidikan perpustakaan, penulis mengumpulkan data dengan menggunakan metode dokumentasi dan metode historis. manakala dalam menganalisis data, penulis menggunakan metode kuantitatif dan metode kualitatif. Di antara hasil kajian ini, didapati bahawa kebanyakan hadith yang dinyatakan di dalam tafsir surah al-Baqarah daripada kitab Marah Labid, berada pada status hadith sahih iaitu mewakili 50% atau 27 hadith daripada keseluruhan 55 hadith, hadith hasan sebanyak 5 hadith atau 9%, hadith da’if sebanyak 9 hadith atau 16%, dan mawdu’ sebanyak 3 hadith atau 5%, manakala 11 hadith atau 20% tidak diketahui sumbernya kecuali daripada beberapa kitab tafsir yang memuatnya tanpa menjelaskan sumbernya. Dengan demikian, sebahagian besar hadith-hadith yang terdapat di dalam tafsir surah al-Baqarah daripada kitab Marah Labid boleh diamalkan sebagai hujah, manakala sebilangan kecil tidak boleh diguna pakai.

Note

Dissertation (M.Usuluddin) -- Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2012

Share

COinS